FEBRUARI 2026

PREMIER SARAWAK UMUM DIVIDEN INTERIM ASSAR 3 SEN SEUNIT, MANFAAT LEBIH 57,000 PEMEGANG UNIT


KUCHING, 6 Februari 2026  — Kerajaan Sarawak mengumumkan pengagihan dividen interim Amanah Saham Sarawak (ASSAR) sebanyak 3 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 hari ini. 

Ini melibatkan jumlah agihan RM15.24 juta kepada 57,878 pemegang unit di seluruh negeri.

Pengumuman itu dibuat oleh YAB Premier Sarawak semasa berucap di Majlis Pengumuman Dividen Interim ASSAR yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.

Menurut beliau, pengagihan dividen interim tersebut merupakan pengagihan kelima sejak penstrukturan semula ASSAR pada akhir 2022, sekali gus mencerminkan prestasi dana yang stabil serta keyakinan berterusan masyarakat Bumiputera Sarawak terhadap dana pelaburan berkenaan.

“Sejak Januari 2024, ASSAR berjaya mengagihkan dividen secara konsisten setiap enam bulan, dengan jumlah agihan kumulatif pasca penstrukturan mencecah RM56.85 juta,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, Nilai Aset Bersih (NAB) ASSAR kekal terkawal dengan purata sekitar RM1.11 seunit, meskipun berdepan turun naik pasaran.

YAB Premier Sarawak menjelaskan, prestasi ASSAR kekal berdaya tahan hasil strategi peruntukan aset yang berhemah serta pengurusan risiko yang proaktif, walaupun pasaran modal berdepan persekitaran mencabar.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa, ASSAR merekodkan pendapatan kasar RM19.87 juta, yang disumbangkan oleh pendapatan faedah sekuriti berpendapatan tetap, keuntungan penjualan ekuiti, pendapatan dividen serta instrumen pasaran wang.

Selepas ditolak perbelanjaan berjumlah RM3.68 juta, pendapatan bersih ASSAR adalah sebanyak RM16.19 juta. Dengan mengambil kira lebihan pendapatan tahun kewangan sebelumnya, jumlah pendapatan boleh agih setakat 31 Disember 2025 mencecah RM28.19 juta, sekali gus membolehkan pengagihan dividen interim dibuat serta mengekalkan rizab pendapatan sebanyak RM12.95 juta.

Dalam pada itu, beliau berharap kadar dividen interim yang kompetitif ini dapat terus menyemarakkan minat pelaburan dalam kalangan masyarakat Bumiputera Sarawak.

“ASSAR bukan sahaja menawarkan pulangan yang mampan, malah merupakan instrumen pelaburan berisiko rendah dengan jaminan harga minima RM1.00 seunit,” katanya.

YAB Premier Sarawak turut memuji inisiatif pihak pengurusan ASSAR dalam memperluaskan akses perkhidmatan kepada rakyat, termasuk kerjasama dengan Service Sarawak melalui pembukaan kaunter perkhidmatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sibu dan Miri, serta perancangan untuk diperluaskan ke Sarikei.

Selain itu, penggunaan rangkaian Sarawak Rural Broadband Network (mySRBN) bagi perkhidmatan pejabat bergerak di kawasan luar bandar disifatkan sebagai langkah progresif ke arah perkhidmatan yang lebih inklusif dan mesra rakyat.

Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan tahniah kepada barisan pengurusan dan warga kerja ASSAR atas pencapaian tersebut, serta menyeru rakyat Sarawak agar terus menyokong produk pelaburan tempatan sebagai usaha bersama membina masa depan kewangan negeri yang lebih mampan.

“Sebagai institusi yang ditubuhkan demi kepentingan warga Sarawak, ASSAR wajar terus mendapat kepercayaan dan sokongan berterusan daripada rakyat,” katanya.